Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Apakah Yang Perlu Ada Dalam RPH


Cara menulis rancangan pengajaran harian RPH yang tepat dan betul? Di sini jawapannya...

IMBAS KEMBALI: PENULISAN RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
- Aktiviti, Objektif, Kriteria Kejayaan, Refleksi

(1). PENULISAN RPH: APAKAH YANG PERLU DITULIS DALAM RPH?
=====================================

1. Mata pelajaran, Tingkatan, Masa
2. Tajuk
3. HSP/SP (DSKP)
4. Objektif
5. Aktiviti
6. Refleksi

NOMBOR 4, 5 & 6 WAJIB ada dalam RPH sebab ada disebut dalam pekeliling Bil.3/1999.

NOMBOR 1 & 2 untuk MEMUDAHKAN RUJUKAN guru yang mengajar pelbagai subjek, kelas dan masa mengajar.

NOMBOR 3 untuk memastikan apa yang hendak dijadikan OBJEKTIF PdPc diambil daripada HSP atau SP, bukan suka-suka. Objektif dibina daripada HSP atau SP (DSKP) yang bersifat umum. Objektif perlu lebih SPESIFIK dan BOLEH DILIHAT (diukur) dan tingkah lakunya mesti jelas.

(2). CARA MENULIS AKTIVITI DALAM RPH
===================================

Aktiviti yang dirancang mesti MENUNJUKKAN CARA OBJEKTIF DICAPAI.

Aktiviti mesti ditulis DENGAN JELAS DALAM AYAT LENGKAP dan BUKAN hanya menulis perkataan:
1. Soal jawab
2. Perbincangan
3. Penerangan
4. Latihan

SEPATUTNYA AKTIVITI DITULIS SEPERTI YANG BERIKUT:

1. Murid dan guru bersoal jawab tentang video yang ditonton.
2. Murid dalam kumpulan meneroka maklumat daripada pelbagai sumber berdasarkan kad arahan melalui aktiviti stesen.
3. Wakil kumpulan membuat pembentangan.
4. Murid dan guru membuat penambahbaikan dan penjelasan lanjut berserta soal jawab.
5. Murid dalam kumpulan menyelesaikan masalah mengikut aras.
6. Murid dan guru membuat semakan dan peneguhan.

(3). CARA MENULIS OBJEKTIF DALAM RPH
====================================

OBJEKTIF mesti dibina berpandu pada:

i. HASIL PELAJARAN (HP) yang terdapat dalam HSP - Tingkatan 2 hingga 5
ii. STANDARD PEMBELAJARAN (SP) yang terdapat dalam DSKP - Prasekolah, tahun 1 hingga tingkatan 1

OBJEKTIF mesti boleh DIUKUR, SPESIFIK dan boleh DICAPAI dalam ruang waktu PdPc.

OBJEKTIF yang dibina mesti ada PERTIMBANGAN MINIMUM ARAS MURID di dalam kelas yang diajar.

CONTOH MEMBINA OBJEKTIF

SUBJEK BM
12.6 Aras 2 (iii) - Membuat pengubahsuaian idea dan organisasi karangan untuk membina perenggan yang seimbang

OBJEKTIF yang boleh dibina:

Murid akan dapat:
1. Membetulkan 3 idea yang tidak relevan dalam petikan karangan aktiviti sukan lasak dengan tepat.
2. Menyusun semula 2 perenggan karangan aktiviti sukan lasak dengan betul dan seimbang.

SUBJEK GEOGRAFI
Bab: 7.4 Kesan Penerokaan Sumber
Memahami kesan penerokaan sumber terhadap alam sekitar negara Malaysia (Aras 2)

OBJEKTIF yang boleh dibina:

Murid akan dapat:
1. Menghuraikan sekurang-kurangnya 3 kesan penerokaan sumber terhadap alam sekitar negara Malaysia berserta contoh dengan tepat.

NOTA:

Gambar menunjukkan objektif PJK.

(4). KRITERIA KEJAYAAN VS OBJEKTIF
================================

Kriteria kejayaan BUKAN objektif.

Kriteria kejayaan digalakkan untuk ditulis tetapi BUKAN WAJIB KECUALI guru di  SEKOLAH AMANAH, SEKOLAH TRANSFORMASI & SEKOLAH PROGRAM TRANSFORMASI.

Kriteria kejayaan ialah cara murid tahu mereka MENCAPAI OBJEKTIF yang telah ditetapkan oleh guru.

Saya kongsikan contoh untuk subjek Bahasa Melayu dan Sains.

Bahasa Melayu
=============

OBJEKTIF:
1. Menulis 1 perenggan isi karangan aktiviti sukan lasak dengan ayat yang gramatis.

KRITERIA KEJAYAAN:
1. Membentangkan 4 isi berserta 1 huraian dalam kumpulan.
2. Menghasilkan 1 perenggan isi dengan 5 ayat yang lengkap.

Sains
=====

OBJEKTIF:
Murid dapat menghuraikan 3 contoh makanan berdasarkan kepentingannya dengan betul.

KRITERIA KEJAYAAN:
1. Membentangkan 3 contoh makanan mengikut pengelasan kepentingannya.
2. Menjawab sekurang-kurangnya 5 soalan kuiz dengan betul.

(5). REFLEKSI vs IMPAK
====================

REFLEKSI atau IMPAK perlu ditulis setelah berakhirnya satu-satu PdPc.

IMPAK merupakan SEBAHAGIAN daripada REFLEKSI.

PERSAMAAN refleksi dengan impak ialah kedua-duanya mencatatkan:
i. JUMLAH/BILANGAN murid dan BUKAN PERATUSAN murid ya5ng mencapai objektif dan yang tidak mencapai objektif.
ii. TINDAKAN yang akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid.

PERBEZAAN refleksi dengan impak ialah refleksi mencatatkan PENAMBAHBAIKAN yang akan dibuat dalam PdPc akan datang.

CONTOH IMPAK

23/26 orang mencapai semua objektif manakala 3/26 tidak mencapai objektif yang kedua dan telah diberikan latihan pemulihan dan akan dibimbing lagi dalam PdPc penulisan karangan akan datang.

CONTOH REFLEKSI

23/26 orang mencapai semua objektif manakala 3/26 tidak mencapai objektif yang kedua dan telah diberikan latihan pemulihan dan akan dibimbing lagi dalam PdPc penulisan karangan akan datang. LPG akan dipermudah untuk kelas akan datang.

NOTA

Jika guru melaksanakan pentaksiran TP atau Band, guru perlu catatkan jumlah murid yang mencapai TP atau Band yang ditaksir dalam REFLEKSI dan kemudian dipindahkan ke dalam borang transit yang ditampal di dalam Buku Rekod Pengajaran.

Sumber: FB Sisc Azura

Catat Ulasan for "Apakah Yang Perlu Ada Dalam RPH"