Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kelayakan Cuti Rehat Khas Bagi Guru


Kelayakan Cuti Rehat Khas (CRK)

4. Kadar kelayakan Cuti Rehat Khas setahun bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan mulai 1 September 2022 ialah seperti di bawah:

Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Kurang 10 tahun perkhidmatan yang melayakkan - 10 hari

Lebih 10 tahun perkhidmatan yang melayakkan - 15 hari

5. Contoh simulasi kelayakan cuti bagi pegawai dalam keadaan di perenggan 4 adalah seperti di Lampiran SR.5.1.5.

6. Pegawai yang layak diberikan Cuti Rehat Khas adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang mengajar dan diberi kemudahan cuti penggal/semester di sekolah atau institusi pendidikan.

7. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan selain yang dinyatakan di perenggan 6 atau diperuntukkan kemudahan Cuti Rehat adalah tidak layak Cuti Rehat Khas.

8. Kemudahan Cuti Rehat Khas juga dipanjangkan kepada:
i. Guru Sandaran/Guru Interim; dan
ii. Guru Kontrak

Peraturan Dan Syarat Cuti Rehat Khas

9. Bilangan hari Cuti Rehat Khas yang layak diambil oleh pegawai adalah secara prorata berdasarkan tempoh perkhidmatan yang melayakkan. Pegawai boleh memohon Cuti Rehat Khas atas apa-apa sebab tertakluk kepada kelulusan sepertimana dinyatakan di perenggan 15 dan 16

10. Cuti Rehat Khas adalah untuk kegunaan dalam tahun semasa sahaja. Baki Cuti
Rehat Khas yang tidak digunakan tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya.

11. Cuti Rehat Khas boleh diberikan melebihi dari bilangan yang dilayaki secara prorata bagi tujuan-tujuan berikut:
i. menziarahi ahli keluarga dan sanak saudara rapat yang sakit tenat atau meninggal dunia;
ii. mengiringi ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan;
iii. menghadiri upacara keagamaan yang dianuti oleh pegawai;
iv. dalam keadaan kecemasan atau kemalangan yang menimpa seperti kebakaran, banjir dan sebagainya;
v. menghadiri majlis konvokesyen bagi pegawai atau ahli keluarga;
vi. mendaftar anak ke sekolah atau institusi pengajian tinggi (di dalam atau di luar negara);
vii. menunaikan fardhu haji sekiranya tempoh 40 hari tidak mencukupi;
viii. menghadiri kursus suai kenal bagi kursus luar kampus; dan
ix. perkahwinan pegawai atau anak pegawai.

12. Pegawai yang telah diluluskan Cuti Rehat Khas melebihi dari bilangan yang dilayaki secara prorata dan kemudiannya tidak dapat memenuhi tempoh perkhidmatan yang melayakkan cuti tersebut pada tahun berkenaan, urusan pemotongan emolumen hendaklah dilakukan sebagai mengganti cuti yang telah terlebih diambil.

13. Dalam keadaan di mana jenis cuti yang diperuntukkan kepada pegawai bertukar dari Cuti Rehat Khas kepada Cuti Rehat, atau sebaliknya, pegawai adalah tertakluk kepada peraturan seperti berikut:
i. layak diberikan Cuti Rehat Khas atau cuti rehat secara prorata mengikut jenis cuti yang diguna pakai;
ii. apabila pegawai bertukar tempat bertugas atau jenis cuti, baki Cuti Rehat Khas atau cuti rehat di tempat atau jawatan terdahulu tidak boleh digunakan di tempat bertugas atau jawatan baharu;
iii. pemotongan emolumen seperti di perenggan 12 atau pelarasan cuti tidak perlu dibuat ke atas Cuti Rehat Khas yang telah diambil melebihi bilangan yang dilayaki secara prorata; dan
iv. baki cuti yang tidak dapat digunakan boleh dikumpul bagi tujuan Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) mengikut ketetapan pekeliling GCR yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

14. Contoh simulasi kelayakan cuti bagi pegawai dalam keadaan di perenggan 13 adalah seperti di Lampiran SR.5.1.5.

Kuasa Melulus

15. Kuasa untuk meluluskan permohonan Cuti Rehat Khas ialah:
i. Pengetua/Guru Besar bagi pegawai yang mengajar di sekolah;
ii. Ketua Institusi Pendidikan di mana pegawai tersebut bertugas; atau
iii. pegawai yang diberi kuasa semasa ketiadaan pegawai di perenggan 15(i) dan 15(ii).

16. Pihak yang meluluskan Cuti Rehat Khas hendaklah memastikan keberkesanan pengurusan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pendidikan tidak terjejas.

Catat Ulasan for "Kelayakan Cuti Rehat Khas Bagi Guru"