Template Pelaporan PBD Tahun 6 SJK KSSR

Apakah PBD?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.

Bila PBD bermula?
PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.

Apakah perbezaan PBD dan PBS?
PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.

Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.

Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
Mengetahui keberkesanan pengajaran
Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta

Bagaimanakah PBD dilaksanakan?
PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun. PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:
Pemerhatian
Penulisan
Lisan
Melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.

Apakah pertimbangan profesional?
Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk keputusan berkaitan pembelajaran murid yang dibuat oleh guru secara beretika menggunakan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman berdasarkan Standard Prestasi dan data perkembangan penguasaan murid dalam pembelajarannya.

Bagaimanakah PBD dilaporkan?
Tahap penguasaan murid dalam PBD dilaporkan menggunakan templat pelaporan dalam fail Excel yang digunakan secara luar talian. Laporan ini digunakan pada peringkat sekolah, serta dilaporkan kepada murid dan ibu bapa.

Bagaimanakah memastikan kualiti pentaksiran bilik darjah yang dilaksanakan?
Pihak pentadbir sekolah melakukan pemantauan, manakala guru-guru dalam panitia semua mata pelajaran melakukan perbincangan dan penyelarasan berkaitan kaedah dan instrumen pentaksiran yang digunakan. Guru dalam panitia yang sama juga melakukan moderasi (perbincangan) sesama mereka dalam melakukan pertimbangan profesional terhadap murid.

Siapakah jawatankuasa pemantauan kualiti PBD?
Jawatankuasa ini dibentuk oleh pihak sekolah, lazimnya dianggotai oleh:
Pengetua/Guru Besar
Penolong Kanan Pentadbiran
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Penolong Kanan KoKurikulum
Penolong Kanan Petang
Penolong Kanan Pendidikan Khas
Guru Kanan Mata Pelajaran/Ketua Bidang
Ketua Panitia
Guru Cemerlang
Jurulatih Utama
Mana-mana guru yang dilantik oleh Pengetua/Guru Besar/JK PBS

Berapa kerap PBD perlu dilaporkan?
Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.

Template Pelaporan PBD SJK KSSR Tahun 6

Catat Ulasan for "Template Pelaporan PBD Tahun 6 SJK KSSR"