Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat


Jalan pintas dari Taiping ke Manjung.
Lebuhraya dari Taiping ke Manjung/Lumut.
Lima pakej Persimpangan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dibuka sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, Jun ini, bagi memudahkan pengguna jalan raya pulang ke destinasi masing-masing.

Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd Datuk Neoh Soon Hiong berkata perkara itu bergantung kepada kerajaan Persekutuan untuk meluluskan pembukaan lima pakej tersebut iaitu Seksyen 4,5 di Selangor serta Seksyen 8, 9 dan 10 di Perak.

“Kita mengharapkan lima pakej lebuh raya sepanjang kira-kira 70 kilometer (km) ini dapat dibuka seminggu awal sebelum Hari Raya Aidilfitri dan memastikan segalanya dalam keadaan selamat untuk digunakan.

“Kesemua pakej yang akan dibuka itu telah berada dalam fasa akhir siap dan kita hanya menunggu kelulusan dari kerajaan apabila ia siap sepenuhnya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat projek sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir ke tapak projek Lebuhraya WCE di Plaza Tol Hutan Melintang, Seksyen 8 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri Abdul Yunus Jamahri serta Anggota Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Neoh berkata sehingga hari ini, keseluruhan projek lebuh raya bernilai kira-kira RM5 bilion itu telah siap kira-kira 60 peratus.

Jajaran Lebuhraya WCE merentasi Selangor dan Perak sepanjang 233km dengan di Selangor bermula dari Jalan Banting - KLIA (B18) hingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8km manakala di Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2km.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata Lebuhraya WCE akan berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan bakal menjadi laluan pintasan kepada kawasan-kawasan utama di Perak antaranya di Teluk Intan, Lekir, Sitiawan, Changkat Cermin, Beruas dan sebagainya.







Katanya, Lebuhraya WCE mempunyai 21 persimpangan bertingkat bersama dengan 20 plaza tol selain turut dihubungkan dengan lebuhraya sedia ada seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS demi memenuhi keperluan trafik di laluan utama.

Jelasnya bagi jajaran Lebuhraya WCE di Perak mempunyai empat Seksyen iaitu Seksyen 8 (persimpangan Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (persimpangan Lekir-Changkat Cermin), Seksyen 10 (persimpangan Changkat Cermin-Beruas) dan Seksyen 11 (persimpangan Beruas-Taiping Selatan).

“Tiga seksyen bagi jajaran di Perak iaitu Seksyen 8, 9 dan 10 sedang di peringkat akhir penyiapan dan dijangka akan dibuka secara berperingkat bermula seawal Jun 2019 dan seksyen selainnya dibuka apabila siap kelak,” katanya.

-- BERNAMA

Catat Ulasan for "Lebuhraya Persisiran Pantai Barat"